Saturday, October 23, 2010

Secebis ingatan sempena Imtihan

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,
Musim peperiksaan berkunjung lagi menyapa yang terjaga menantinya, juga yang terlena terleka. Semoga kita semua dirahmati Allah dan dipermudahkanNya menghadapinya penuh persediaan, penuh pergantungan kepada Allah, Tuhan penentu segala urusan.
Ikhwah dan Akhawat,
Pengharapan kita kepada Allah menuntut kita menabur usaha sedaya mungkin beserta tawakkal sepenuhnya seperti firmanNya dalam Surah Al-Insyirah, “وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ”, yang bermaksud, “Dan kepada Tuhanmu maka kau letakkan pengharapan.”
Sehingga mereka yang menginginkan kecemerlangan sanggup mengekang mata di waktu malam mengulang kaji pelajaran sedangkan orang lain tidur lena. Berpenat lelah demi meraih apa yang dicita-citakan kerana mengingatkan pesan Baginda, “إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه”, yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang itu beramal ia menekuni amalanya itu.”
Bersama itu, semoga insyaAllah kita harapkan pergantungan kita kepada yang Maha Penentu tidak pernah putus kerana Dia lah yang kita sembah dan kita pohon segala sesuatu seperti firmanNya dalam Surah Al-Fatihah, “إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ”, yang kita gemakan setiap hari di hadapanNya.
Penyerahan kita kepada Allah adalah meyakini Dia lah sebaik-baik yang merancang dan ketetapanNya pasti yang terbaik untuk diri kita.

…وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا

“…dan Dia telah menciptakan segala sesuatu dan menentukannya dengan ketentuan yang sempurna.” (Surah Al-Furqan: 2)
Ibnu ‘Ataillah pernah berpesan,

سوابق الهمم لا تخرق اسوار الاقدار

“Himmah yang menggebu tidak dapat menerobos takdir (yang telah ditentukanNya)”
Lantas mengingatkan supaya menanam iman yang tinggi dan bermujahadah berterusan, bukan sebaliknya dilamun angan-angan yang menipu dan mengundang bisikan Syaitan yang melekakan.
Ikhwah dan akhawat yang dirahmati,
Menjadi cita-cita setiap daripada kita untuk beroleh yang terbaik dalam mendaki menara gading, berjaya memperoleh segulung ijazah yang membanggakan ibubapa yang tersayang. Tiada siapa yang mahu gagal, tiada siapa yang mahu terkandas. Itulah harapan agung setiap daripada kita.
Namun begitu, pastinya apa yang akan berlaku adalah tertakluk kepada iradah Ilahi mengatasi segalanya. Dia lah yang telah menetapkan perancangan sejak azali lagi. Maka sewajarnya kita membulatkan keimanan kita kepada apa jua ketetapanNya. Boleh jadi indah, boleh jadi menghampakan, tetapi segalanya pasti terbaik untuk diri kita. Apa yang lebih penting adalah berusaha sebaik mungkin dan berserah…kemudiannya bersyukur dan bersabar atas ketentuanNya.
Sekali lagi Ibnu Ataillah meninggalkan pesan,

يكفى من الجزاء لك على العمل ان كان له قابلا

“Cukuplah untuk anda sebagai balasan Allah atas amalan itu , jika Allah menerimanya”
Sesungguhnya kamu tidak akan disoal mengenai iradah Allah, tetapi hanya amalan dan usaha kamu yang akan berada di atas timbangan nanti. Kita juga sentiasa berdoa kepadaNya agar dianugerahkan kejayaan di dunia dan terutamanya di akhirat.
Ikhwah yang disayangi, Akhawat yang dihormati,

ارادتك التجريد مع اقامة الله اياك فى الاسباب من الشهوة الخفية

“Keinginan untuk tajrid, padahal Allah menempatkan kamu pada asbab (sebab musabab) adalah termasuk dalam syahwat yang tersembunyi”
Begitulah peringatan yang cukup bermakna Ibnu Ataillah. Syeikh Said Hawa mengulas:
“Seseorang yang meletakkan meletakkan kakinya di jalan menuju kepada Allah azza wajalla, pada kebiasaannya akan timbul pada dirinya sendiri sejenis keinginan iaitu keinginan untuk meninggalkan sebab musabab atau meninggalkan amalan duniawi yang sedang diceburinya.”
Berhati-hati dengan sang nafsu memperdaya kita untuk berlengah dan mengabaikan tanggung jawab berusaha. Niat yang ikhlas tidak akan membunuh akal untuk berfikir dan tubuh untuk berusaha. Sedangkan angan-anganlah yang membuat kita bermalasan.
Sedarilah posisi kamu, dan beramallah berdasarkannya…
Gelaran dai dan khalifah menuntut satu tanggungjawab yang besar. Dai adalah manusia biasa yang memerlukan kekuatan sepuluh kali ganda manusia di luar sana. Tanggung jawab kepada diri, keluarga dan masyarakat, juga tanggung jawab belajar dan berkerjaya memerlukan pengendalian masa dan tenaga yang seimbang dan pertimbangan yang matang.
Kehilangan dai atas sebab kurangnya memahami prioriti, atau kelalaian dalam tarbiyyah membantutkan jalan yang penuh tribulasi. Amal jamai dalam memperdanakan arus dakwah senantiasa memahami kerumitan berhadapan konflik ini dalam memastikan para dai terus tsabat. Dakwah bukan terbatas memikirkan keperluan rijal-rijalnya pada hari ini, tetapi juga melihat jauh rencana masa depan untuk medan-medan dakwah selepas belajar.
Keimanan kita kepada marhalah dakwah mengajar kita prioriti dalam tarbiyyah diri. Oleh itu, para dai perlu memahami kelalaian dalam tarbiyah juga mengambil berat kelalaian dalam tanggung jawab sebagai pelajar. Tidak wajar apabila salah satunya menjadi fitnah kepada yang lain.
Uzlah yang seketika ini perlu digunakan untuk membuktikan dakwah ini mampu melahirkan dai yang cemerlang. Kita bermohon agar tidak dilunturkan nikmat Iman dan tarbiyyah sepanjang kerisauan melangkah ke alam seterusnya dalam kerjaya.
Ikhwah dan Akhawat,
Ingatlah, jaulah kita masih jauh destinasinya. Langkah hari ini adalah muntalaq, berbekallah dengan sebaik mungkin. Semoga kita menjadi modal kejayaan ummah apabila kita beroleh kecemerlangan.
“Andainya generasi hari ini merupakan aset bekalan kepada tuan, maka generasi akan datang adalah merupakan hasil semaian tuan” (Imam As-Syahid Hasan Al-Banna)
Kepada Allah kita pohonkan agar merahmati para rijal yang berjuang saban hari memikirkan masalah umat akhir zaman, membuka hati-hati manusia agar berlindung di bawah naungan Ilahi bagi menempatkan kita sebagai keluarga besar di Syurga.
Selamat menghadapi musim peperiksaan nanti. Bitaufiq wa Najah.
Dr. Ismail Ibrahim
Maktab Pra-Siswazah
Majlis Syura Muslimun